Menurut bahasa Melanau, Dalat bermaksud lalat. Ada sebabnya kenapa ia digunakan sebagai nama sebuah bandar.

Dalat merupakan sebuah bandar pentadbiran daerah terletak di Bahagian Mukah, Sarawak. Ia terletak di tepi sungai Oya.

jiihgeng: Taman Klideng Dalat
Sumber : Jiihgeng

Majoriti penduduk yang menetap di Dalat terdiri daripada kaum Melanau.

Asal usul nama Dalat

Beberapa abad yang lalu, terdapat sebuah kampung kecil yang aman damai dan tiada siapa yang tahu namanya.

Yang hanya diketahui ialah kampung tersebut diketuai oleh seorang ketua kampung yang bijaksana dan dia mempunyai 3 orang anak lelaki.

Nama anaknya yang sulung, Galau, yang kedua, Umat dan diikuti yang bongsu, Lutong.

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Hikayat Legenda Sarawak: Puteri Santubong Puteri Sejinjang

Pada suatu hari, ketua kampung tersebut sakit tenat dan memanggil kesemua anaknya untuk memberi pesanan kepada mereka sebelum menghembus nafasnya yang terakhir.

Pesanan kepada Galau, “Kau anak yang sulung, kau seorang yang adil dan saksama. Jangan berubah, sentiasalah berbuat baik kepada semua orang. Begitulah keluarga akan maju.”

“Baiklah ayah”, balas Galau sambil mencium tangan ayahnya. Dia menangis kerana ayahnya akan meninggalkan mereka.

Pesanan kepada Umat pula berbunyi, “Ayah tahu yang kau tu kadang-kadang panas baran. Kau seorang yang berani dan pemimpin yang baik, tapi ayah nak kau bersikap baik dan lemah lembut dengan adik-beradik kau. Kalau adik-beradik bergaduh, macam mana kampung nak aman damai?”

“Sudah tentu ayah,” balas Umat sambil mencium tangan ayahnya. Tambahnya lagi, “Tapi, ayah, siapa yang ganti ayah sebagai ketua kampung selepas ini?”

Galau dan Lutong terkejut mendengar pertanyaan Umat kepada ayah mereka yang sedang sakit tenat. Tapi ayah mereka tidak mendengar pertanyaan tersebut.

Dan pesanan kepada Lutong pula, “Lutong anakku yang bongsu, kau seorang yang penyabar. Walaupun masih budak lagi, kau bijak dan adil. Bantulah abang kau, ketua kampung yang baru, dengan memberi nasihat yang baik…” lalu ketua kampung tersebut menutup matanya dan meninggal dunia.

Lutong masih memegang tangan ayahnya sambil berbisik, “Saya akan ikut nasihat ayah dan tidak akan saya lupakan”.

Selepas berkabung, berlaku pertengkaran antara Galau dan Umat, siapa yang akan menguruskan urusan pengukiran tiang peringatan untuk ayah mereka kerana ia merupakan tugas ketua kampung.

The Project Gutenberg eBook of A History of Sarawak under Its Two ...
Sumber : gutenberg.org

“Aku yang sulung, jadi akulah yang akan menjadi ketua kampung yang baru”, kata Galau.

“Ayah tidak ada menyebut nama kau pun untuk menggantikannya. Hanya disebabkan kau tua sedikit dari aku, kenapa kau layak menjadi ketua? Aku lebih tinggi dan berani”.

Tidak dinafikan yang Umat seorang yang tinggi dan kuat. Dia sering terlibat dalam peperangan, dan biasanya dia akan menang. Dia seorang yang berani dan kejam.

“Abang jangan cakap macam tu, walaupun ayah tidak sempat menyatakan siapa yang akan menggantikannya, tapi mengikut adat kita, anak sulung yang sepatutnya menggantikan ayahnya. Kita harus hormat adat kita”, kata Lutong.

“Adat? Apa yang kau boleh beli dengan adat?” tanya Umat dengan nada biadap. “Ketua macam mana yang akan Galau jadi? Jika berlaku pertengkaran? Mampukah dia menghentikannya? Jika ada musuh menyerang kampung kita, mampukah dia memimpin tentera untuk berlawan?” kata Umat yang terus memperendahkan abangnya, Galau.

Galau hanya duduk diam dan tidak berkata apa-apa kerana dia tahu kalau dia membalas, keadaan akan menjadi semakin teruk.

Oleh sebab itu, Umat beranggapan yang Galau takut akannya dan terus memperendahkan Galau.

Pertengkaran tersebut telah menyebabkan berlaku perpecahan antara penduduk kampung kerana sebahagiannya menyokong Galau dan sebahagian lagi menyokong Umat sebagai ketua kampung yang baru.

Pada keesokan harinya, semasa perjumpaan semua penduduk kampung untuk melantik ketua kampung yang baru, proses tersebut tidak dapat diteruskan kerana penduduk kampung masih tidak bersependapat dan berlakunya pertelingkahan antara mereka.

Lutong menyuarakan pendapatnya yang Galau patut menjadi ketua kampung dan Umat menjadi ketua perang, akan tetapi tiada siapa yang mendengarnya walaupun dia mengulangkan pendapatnya berkali-kali.

Keadaan menjadi semakin buruk dan perjumpaan tersebut terpaksa dihentikan dan menyebabkan tiada ketua kampung baru yang dilantik.

Oleh hal yang demikian, suasana kampung menjadi tegang dan sering berlaku pertengkaran sesama penduduk kampung menyebabkan aktiviti cucuk tanam, menangkap ikan dan sebagainya tidak dapat dilakukan dengan aman.

Setiap hari penduduk kampung bertanya kepada orang tua mereka tentang peperangan yang pernah berlaku dahulu sambil mengasah lembing mereka. Mereka juga membuat senjata seperti pedang sebagai persiapan perang.

Sumber : vikingsword

Pada suatu hari Lutong ingin berjumpa dengan Umat untuk berbincang, akan tetapi dia tidak dapat menemui abangnya.

Pada petangnya, dua orang tua datang ke rumah Galau untuk memberitahu ke mana perginya Umat. Mereka menyatakan bahawa Umat pergi berjumpa dengan musuh kaum mereka.

Galau tanya kenapa Umat pergi jumpa mereka, jawab orang tua itu, “Aku tak sanggup nak jawab, tapi aku rasa kita patut bina rumah panjang yang lebih tinggi dan kuat. Jika kita diserang oleh mereka, rumah kita yang sedia ada tidak cukup kuat.”

Galau terkejut dengan tindakan adiknya yang sanggup mengkhianati penduduk kampungnya sendiri. Lutong juga turut bersedih dan memberi nasihat kepada Galau, “Abang, kita jangan beritahu kenapa dan untuk apa, hanya beriitahu mereka untuk membina rumah baru. Kita boleh mula esok.”

Pada keesokan harinya, Galau mengadakan perjumpaan bersama peduduk kampung lelaki. Dia mendapati bahawa sebahagian dairpada mereka hilang, rumah mereka kosong. Mereka telah keluar dari kampung bersama keluarga mereka termasuk Umat.

Penduduk kampung yang tinggal, tidak berkata banyak dan bersetuju untuk membina rumah baru yang kuat untuk semua penduduk.

Mereka membina rumah panjang yang tinggi dari tanah, tiang dan dindingnya yang keras, tangganya pula boleh ditarik ke atas, mempunyai lubang berdekatan dengan tiang kayu keras yand ditutup lubangnya dan tingkap yang mempunyai penutup yang tebal.

Longhouse
Sumber : Pinterest

Setiap petang selepas penduduk kampung selesai melakukan kerja ladang mereka, Galau mengarahkan mereka untuk berlatih berlawan. Mereka tidak pernah menyangka yang Galau sebagai ketua perang tetapi mereka patuh dengan arahan tersebut.

Setiap malam, tangga akan ditarik ke atas dan tingkap akan ditutup dan penduduk muda akan berjaga and meronda di sepanjang sungai berbekalkan kapak dan parang.

Galau juga mengarahkan mereka untuk memotong hanya separuh pada batang kayu pokok di tepi sungai untuk dijadikan sebagai pertahanan supaya hanya beberapa pukulan diperlukan untuk menumbangkan pokok tersebut jika musuh menggunakan laluan sungai tersebut.

Dragon Fruit Support – version 2 – Three Acre Paradise
Sumber : threeacreparadise.com

Penduduk kagum dengan strategi Galau itu.

Pada satu malam, Umat bersama dengan musuh penduduk kampungnya menggunakan perahu untuk menyerang kampungnya.

Penduduk kampung yang sedang membuat rondaan telah mengesan musuh tersebut dan mereka memukul pokok yang telah siap sedia sebelum ini dan ia jatuh menimpa perahu musuh.

Banyak perahu musuh hancur. Ramai yang mati ditimpa pokok dan ada yang mati lemas. Musuh yang selebihnya bersama Umat selamat daripada pertahanan tersebut dan sampai ke tebing sungai.

Mereka membakar rumah-rumah di kampung itu dan menunggu penduduknya untuk keluar dari rumah supaya mereka dapat membunuh mereka.

Akan tetapi semua rumah tersebut sudah dikosongkan.

Umat hairan, ke mana perginya semua orang. Kemudiannya, dia menjumpai sebuah rumah panjang yang tinggi yang dia tidak pernah nampak sebelum ini. Terus dia memanggil musuh untuk menyerang rumah tersebut.

Tapi malangnya mereka tidak menjumpai tangga untuk naik ke rumah tersebut. Oleh itu mereka cuba membakar dan memotong tiang rumah tersebut untuk menumbangkannya.

Galau mengarahkan penduduknya untuk membuka penutup lubang yang telah dibuat sebelumnya dan menuangkan air panas yang telah dididih sebelumnya ke arah musuh yang berada di bawah.

Ramai musuh mati akibat air panas tersebut dan selebihnya cedera teruk. Selepas itu, penduduk kampung turun ke bawah sambil membawa pedang. Berlakunya peperangan di sekitar kampung dan ianya berlanjutan selama 3 hari 3 malam, ramai yang terkorban.

Sumber : unsplash.com

Akhirnya, musuh yang masih tinggal telah merangkak ke perahu mereka dan terus lari dari kampung itu.

Penduduk kampung bertanyakan kepada Galau, apakah mereka perlu mengejar musuh yang lari itu?, Galau menjawab, “Biarkan mereka lari, biarkan ini jadi pengajaran kepada mereka. Kita perlu menguruskan penduduk kita yang terkorban dan menenangkan penduduk kampung yang sedang dalam ketakutan.” Mereka bersetuju dengan Galau.

Suasana kampung menjadi suram, banyak mayat berselerak, bau yang busuk akibat mayat yang sedang luput dan lalat yang nampak seperti asap hitam yang tebal berkeliaran di seluruh kampung.

To Form Swarms, Midges Fly in Spring-Like Zigzags | Inside Science
Sumber : insidescience.org

Penduduk kampung menguruskan semua mayat secepat yang mungkin dan mereka telah menjumpai mayat Umat. Mereka beranggapan yang Galau akan gembira jika dia tahu yang Umat telah mati. Akan tetapi setelah Galau tahu berita itu, dia pergi ke mayat adiknya yang masih belum diuruskan oleh penduduk kampung.

“Dia adikku, anak kepada ayahku, dia lebih muda dariku dan aku gagal membimbingnya. Aku ingin kamu untuk mengukir tiang peringatan untuknya sepertimana kamu buat untuk ayahku”, kata Galau sambil menangis.

Tetapi penduduk kampung tidak bersetuju dengannya kerana Umat yang menyebabkan semua ini terjadi. Lutong bersetuju dengan penduduk kampung dan menasihati Galau yang Umat tidak layak diukirkan tiang peringatan untuknya.

Galau dengan rasa sedih, bersetuju dengan pendapat Lutong dan penduduk kampung. “Sekurang-kurangnya kamu tanamkanlah Umat, aku sudah puas hati dengan itu,” kata Galau kepada mereka.

“Kampung ini yang dahulunya aman damai, kini ia menjadi seperti tempat kematian, berlumuran dengan darah, busuk dan dipenuhi dengan lalat. Aku namakan kampung ini sebagai Dalat, bermaksud lalat, supaya tidak ada orang yang akan lupa akan kejadian ini,” tambahnya lagi.

Begitulah kisah terhasilnya nama Dalat. Kini tiada siapa yang bercakap mengenai pertumpahan darah antara adik-beradik tersebut. Akan tetapi penduduk Dalat tahu akan nilai kedamaian dan persahabatan dan tidak akan melupakannya.

Sumber utama: ‘Sarawak Folktales’, Heidi Munan, 2017

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here