Songket Melayu Sarawak merupakan pakaian tradisional negeri ini. Ia mempunyai nilai tersendiri dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak.

Keunikan songket Melayu Sarawak adalah daripada saratnya benang emas yang digunakan. Selain itu, sungkitannya yang halus dan teliti yang dipamerkan dalam setiap produk yang dihasilkan menyebabkan nilainya begitu tinggi di dalam pasaran.

Berasaskan prinsip seni spiritual, motif flora dan fauna banyak diguna pakai dalam pembuatan songket Sarawak. Kain Songket Sarawak mempunyai 5 jenis, iaitu ialah:

1. Kain Songket Belatak

Merupakan kain songket yang dipenuhi berbenang emas membuatkan ia kelihatan mewah. Songket ini ditenun untuk digunakan semasa majlis perkahwinan atau kepada individu-individu yang mempunyai status sosio ekonomi yang tinggi dalam masyarakat.

Kebiasaannya badan kain songket ini tidak mempunyai banyak jenis motif tetapi ia disongket sehinggakan hanya benang emas sahaja yang kelihatan. Kain ini juga dikenali sebagai Jong Sarat khasnya di utara Sarawak.

kain songket belatak telok berantey tampok manggis punca pucuk rebung sarawak
Sumber: Songket & Keringkam Warisan Melayu Sarawak

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Sarawak Lost Tribes – Etnik Jatti Miriek

2. Kain Songket Bertabur

Kain songket ini berpalak lebar dan badannya dipenuhi corak bertabur. Antara motif bunga tabur yang sering diguna pakai ialah Bunga Tanjung, Melor, Baling, Bintang, Tampok Pedada, Tampok Manggis, Bunga Raya, Mawar dan Orkid.

anatomi songket sarawak
Sumber: Songket & Keringkam Warisan Melayu Sarawak

Di bahagian pengapit kaki atas atas atau bawah dan juga pengapit dalam atau luar biasanya bermotifkan leok pakuk (awan larat), tampok pedada, kuda laut dan kiapuk.

Antara corak terkenal ialah tepi bunga pengantin dan sisi pengantin yang merupakan kombinasi beberapa motif geometri dan abstrak yang digabung atau diulang secara horizontal.

Manakala punca sisi pengantin mengarah ke dalam kain pengantin. Jenis kain ini juga dikenali sebagai kain Lungi atau kain Brunei.

kain songket bertabur bunga tapak sulaiman dan manggis punca pucuk rebung
Sumber: Songket & Keringkam Warisan Melayu Sarawak

3. Kain Songket Berturus

Merujuk kepada kain yang berjalur dari atas ke bawah. Pada bahagian kepala kainnya dihiasi corak geometri dan adakalanya diselang seli dengan corak abstrak dalam bentuk bunga ros iaitu motif ros duduk ataupun melelat.

Selalunya badan kain ditenun dengan corak petak berwarna warni atau hanya menggunakan satu warna iaitu merah hati, biru, navi, ungu, merah manggis, oren, hijau lumut, dan warna tanah. Ia juga dihiasi dengan benang pakan emas yang diselang-seli berbeza dan berulang coraknya.

Kain Songket Berturus sesuai digunakan untuk pelbagai jenis majlis keramaian dan ia digunakan sebagai kain kuyuk atau kain tapeh.

 

kain penakan punca berturus pinang masak
Sumber: Songket & Keringkam Warisan Melayu Sarawak

4. Kain Songket Biasa

Kain songket biasa merupakan kain songket yang menggunakan benang sutera tumbuh-tumbuhan atau ulat sutera sebagai pengganti benang emas.

Coraknya menyamai kain songket berturus iaitu benang suteranya disongket berjalur dari atas ke bawah dan benangnya membentuk petak-petak yang terdiri daripada pelbagai warna.

Kain songket ini banyak digunakan oleh orang ramai kerana harganya yang mampu milik berbanding dengan kain songket benang emas atau perak.

kain berturus tenun biasa benang sutera
Sumber: Songket & Keringkam Warisan Melayu Sarawak

5. Kain Songket Limar

Kain Songket Limar amat jarang ditemukan di Sarawak tetapi ia pernah digunakan di Sarawak khasnya sebagai Kain Kuyak, Kain Tapeh atau Kain Penutup Bahu.

Ia dianggap sebagai kain tenun biasa di Sarawak namun kain songket ini mempunyai kelasnya tersendiri yang memerlukan penyelidikan lanjut.

Wow tak sangka pulak begitu banyak sekali jenis kain songket warisan Melayu Sarawak. Admin berharap semoga perkongsian ini dapat membantu anda untuk mengenali budaya warisan negeri ini.

Sumber: Buku Songket & Keringkam Warisan Melayu Sarawak

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here