Keringkam bukan hanya sekadar tudung tetapi simbol mahkota wanita Melayu Sarawak pada sekitar tahun 1920-an hingga 40-an.

Tudung Keringkam merupakan tudung tradisional bagi wanita Melayu Sarawak. Keringkam mempunyai dua jenis iaitu selayah atau tudung dan selendang.

Selayah Keringkam umumnya lebih pendek dan digunakan sebagai tudung yang menutup kepala sehingga bahu sahaja manakala Selendang Keringkam pula lebih panjang dan dipakai sehingga paras pinggang.

Keringkam warna merah
Kredit: Nurul Dahlia/sukasuka.tv

Pada era 60an Keringkam hanya digunakan oleh wanita bangsawan sewaktu menghadiri majlis-majlis rasmi dan dikenakan bersama dengan busana kain Songket. Keringkam yang diperbuat daripada kain lembut dan dihiasi dengan sulaman menggunakan benang berwarna emas dan perak telah menjadikannya seni halus yang cukup unik.

Justeru itu, penggunaan bahan-bahan yang cukup mahal dan kerumitan dalam proses pembuatannya telah membuatkan nilai Keringkam sangat tinggi di dalam pasaran. Maka tidak hairanlah pada ketika itu, hanya wanita bangsawan sahaja yang mampu memakainya.

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Mari Kenali 5 Jenis Kain Songket Warisan Melayu Sarawak

keringkam bewarna hijau
Kredit: Nurul Dahlia/sukasuka.tv

Oleh itu, jelas sekali Keringkam bukan hanya sekadar tudung biasa dan ianya mempunyai kelas tersendiri dalam warisan masyarakat Melayu Sarawak.

Sejarah nama Keringkam

Perkataan Keringkam pastinya tidak akan dijumpai di mana-mana kamus Bahasa Melayu. Kata akarnya ‘Kelingkam‘. Ia mempunyai makna yang sama dengan ‘Kerikam’ atau ‘Keringkam’ iaitu benang kasar yang dilapisi dengan emas atau perak yang digunakan sebagai sulaman.

Istilah Kelingkam ialah gabungan dua perkataan iaitu ‘keling’ dan ‘kam’. Istilah Keling sering digunakan untuk menggambarkan saudagar dari India Selatan yang menetap di Asia Tenggara.

Dipercayai penggunaan ‘keling’ merujuk kepada saudagar dari India yang merupakan pembekal kepada benang-benang emas untuk sulaman keringkam pada ketika itu.

keringkam sarawak warna unggu dan hijau
Kredit: Nurul Dahlia/sukasuka.tv
Manakala perkataan ‘kam’ dipercayai diambil dari bahasa Cambodia kuno yang bermaksud jenis-jenis kain. Selain itu turut dinyatakan juga ‘kam’ atau ‘kham’ itu ialah pinjaman daripada bahasa Thailand yang bermaksud emas atau apa sahaja yang nampak cantik dan baik.
Maka mungkin disebabkan slanga masyarakat Melayu Sarawak, dua perkataan ‘keling’ dan ‘kam’ akhirnya lama-kelamaan digelar ‘keringkam’ yang kita kenali sekarang.

Galeri Songket & Keringkam

Sehubungan dengan keunikan Keringkam sebagai khazanah warisan masyarakat Melayu Sarawak, maka Galeri Songket & Keringkam telah ditubuhkan. Ia bertujuan bagi memelihara warisan ini supaya tidak hilang ditelan zaman.
papan tanda galeri songket dan keringkam
Sumber: Songket & Keringkam Gallery (Facebook)
Idea penubuhan galeri ini adalah untuk mengangkat semula khazanah warisan Songket dan Keringkam Melayu Sarawak. Di samping itu, ia ditubuhkan untuk memperkenalkan dan memberi pendedahan kepada pengunjung dan juga generasi muda mengenai kewujudan Songket dan Keringkam di Sarawak.
Pada 2 Julai yang lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Hajah Nancy Shukri ingin melihat sendiri warisan Keringkam dan Songket Sarawak. Justeru beliau telah membuat lawatan rasmi iaitu Lawatan Walkabout ke Galeri Songket dan Keringkam yang terletak di Jalan Masjid, Kuching, Sarawak.
Di samping itu, lawatan ini juga turut disertai oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Galeri Songket & Keringkam
Alamat: Jalan Masjid 93400 Kuching, Sarawak
Masa Operasi: 9 Pagi hingga 6 Petang
No Telefon: 013 727 0805
Dato Sri Hajah Nancy Shukri dan Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berada di galeri keringkam dan songket
Sumber: UKAS
Alahai cantiknya khazanah warisan di negeri Sarawak ini. Diharapkan Keringkam dan Songket ini akan terus terpelihara dan mampu meningkatkan nilai tekstil negeri ini di peringkat antarabangsa.

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here