Walaupun tiada lagi di dalam arena politik Sarawak setelah menghembuskan nafas terakhirnya pada 23 Julai 2011, jasa patriot legenda Dato’ Sri Tra Zehnder kekal dalam sejarah sebagai “wanita besi” yang memartabatkan masyarakat Dayak di Sarawak.

Semangat patriotisme luar biasa Dato’ Sri Tra Zehnder sememangnya tiada tandingan dan pasti menjadi contoh kepada anak-anak muda Sarawak. Berikut ialah biografi ringkas dan jasa-jasa mendiang kepada Sarawak.

  • Wanita pertama menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak (1960-1963)

  • Mencadangkan Hari Gawai Dayak sebagai perayaan cuti umum kebangsaan pada 1 Jun

  • Oleh sebab beliau gambar poskad wanita Iban tidak berbaju tidak lagi dieksploitasi dan dijual di pasaran

Sarawak Heroes: Dato’ Sri Tra Zehnder, "Wanita Besi" Yang Menyatukan Hari Gawai Pada 1 Jun

Kehidupan Awal Mendiang

Dato’ Sri Tra Zehnder ata Philomena Tra Ak Jemat dilahirkan pada 25 Oktober 1926 di Miri, Sarawak.

Beliau bersekolah di Sekolah St. Mary’s, Kuching. Di sana beliau melanggar peraturan sekolah apabila berlawan dengan pembuli demi menjaga maruah pelajar Dayak terutamanya pelajar perempuan. Beliau berkawan dengan Mary Ong, cucu kepada Ong Tiang Swee. Mary dikatakan menerima wang saku harian sebanyak 1 dollar. Beliau akan memberi setengahnya kepada mendiang. Mendiang menggunakan 50 sen tersebut untuk membeli makanan kepada pelajar-pelajar Dayak yang miskin di sekolah. Hal ini tanda awal beliau berperanan sebagai orang tengah antara golongan yang mampu dan tidak mampu.

Dato’ Sri Tra berkahwin dengan Lesley Ptolemy Zehnder, seorang penjawat awam pemerintahan kolonial British. Perkahwinan ini telah menaikkan status Dato’ Sri Tra dalam kalangan masyarakat Kuching yang ternama, satu kedudukan yang jarang dinikmati oleh wanita Dayak pada ketika itu. Dato’ Sri Tra menggunakan kelebihan statusnya untuk memperjuangkan hak-hak masyarakat Dayak terutamanya wanita.

Dato’ Sri Tra Zehnder bersama suaminya Leslie Ptolemy Zehnder
Kredit: Jayl Langub

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Sarawak Heroes: Lily Eberwein, Pengetua Sekolah Di Sebalik Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak

 

Mencadangkan Hari Gawai Dayak Sebagai Cuti Umum Kebangsaan

Antara perjuangan Dato’ Sri Tra Zehnder pertama ialah mencadangkan satu hari khas untuk menyambut Hari Gawai Dayak namun tidak mendapat sokongan.

Walaupun permintaan beliau ditolak, namun perjuangannya membuka jalan kepada kerajaan Stephen Kalong Ningkan untuk meluluskannya. Mulai tahun 1964 iaitu setahun selepas beliau berhenti menjadi Ahli DUN, perayaan Gawai Dayak disambut sebagai cuti umum seluruh Malaysia setiap 1 Jun sehingga sekarang.

Dayak girls in traditional costume celebrating Gawai. Gadis wanita Dayak memakai pakaian tradisional menyambut Gawai di Sarawak.
Kredit: McLadies

Menghentikan Eksploitasi Wanita Iban Sebagai Hiasan Poskad

Antara perjuangan Dato’ Sri Tra Zehnder yang paling terkenal ialah bukan sahaja memerangi ketidakadilan terhadap Dayak oleh kerajaan kolonial, namun misi beliau terhadap eksploitasi dan degradasi kaum wanita Iban yang digambarkan sebagai masyarakat tidak berbaju yang digunakan sebagai bahan pelancongan dalam poskad.

Oleh sebab itu mendiang berjuang bersungguh-sungguh untuk menghentikan penjualan poskad wanita Iban tidak berbaju di kedai-kedai seluruh Sarawak, dan akhirnya beliau berjaya.

Dato' Sri Tra Zehnder Menghentikan Eksploitasi Wanita Iban Sebagai Hiasan Poskad
Kredit: Gini Gorlinski/Britannica

Sifat Kepimpinan Yang Tinggi

  • Mewakili Sarawak Dayak National Union (SDNU) bagi meneruskan perbincangan dengan Suruhanjaya Cobbold yang bersiap sedia untuk pembentukan Malaysia.
  • Ketua sayap wanita Sarawak National Party (SNAP) (1967-1983)
  • Wanita Iban pertama yang dilantik sebagai Temenggong untuk Bahagian Kuching (1988-1996)
  • Wanita pertama sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (1996-2002). Sebelum mendiang dilantik jawatan ini didominasi oleh kaum lelaki Dayak Sarawak.
  • Pengasas Sarakup Dayak Induk Sarawak (SIDS) dan dilantik sebagai Setiausaha Kehormat SIDS yang pertama pada Mei 1957 dan kemudian dilantik sebagai Presiden SIDS keempat (1964-1966).
  • Pengasas Sarawak Dayak National Union (SDNU), di mana beliau menyandang jawatan Naib Presiden (1981-1990). 
Sarawak Heroes: Dato’ Sri Tra Zehnder, "Wanita Besi" Yang Menyatukan Hari Gawai Pada 1 Jun
Kredit: Unimas

Beliau juga aktif dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan, antaranya:

  • Ahli Majlis Kebajikan Sarawak (1961-1967)
  • Majlis Melanjutkan Pelajaran Sarawak (1960-1967)
  • Jawatankuasa Tabung Getah (1980-1987)
  • Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak (1981-1983)
  • Ahli Penasihat Lembaga Pesalah Juvana (1981-1986)
  • Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, Kuching (1987 hingga meninggal dunia)
  • Penasihat Mahkamah Juvana, Kuching (1987-1997)
  • Ahli Majlis Wanita Sarawak (1989-1992)A
  • Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (1989-1998)
  • Lembaga Pelawat Pusat Serenti (1992-1997)

“All these years, I have been giving and continue to give free and voluntary service. I have never thought of any reward to do my bit for the Dayak community. What I want is to see that the Dayak people especially the women to go side by side with the others. This is what I try to do.” – Dato’ Sri Tra Zhender

Dato’ Sri Tra telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 23 Julai 2011 di ketika usianya 84 tahun kerana sakit tua. Beliau menerima pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan bagi perkhidmatannya, dan penerima pertama bagi Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib.

Dato’ Sri Tra Zehnder (tengah) bersama penulis biographinya, 'Tra Zehnder: Tokoh Wanita Iban Sarawak', Prof Rokiah Talib & Prof Hew Cheng Sim pada 12 Julai 2011.
Dato’ Sri Tra Zehnder (tengah) bersama penulis biographinya, ‘Tra Zehnder: Tokoh Wanita Iban Sarawak’, Prof Rokiah Talib & Prof Hew Cheng Sim pada 12 Julai 2011. Kredit: tycostylo.com

Walaupun beliau telah mencipta sejarah dalam pelbagai bidang dan jawatan, namun mendiang akan sentiasa diingati sebagai patriot wanita Sarawak yang unggul.

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

Rujukan:

Langub, Jayl. “Dato’ Sri Tra Zehnder, 1926-2011.” Borneo Research Bulletin, vol. 42, 2011, p. 23+. Gale Academic OneFile, Diakses 8 Julai 2020.

“9 Unsung Malaysian Heroes That Deserve A Spot In Our History Books”, says.com

“The legendary Tra Zehnder”, thebrokenshield.blogspot.com, 26 Julai 2011 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here