Guru berdarah kacukan Eurasian Lily Eberwein Abdullah ialah seorang ibu, pengetua dan pelopor kepada perjuangan reformasi dalam gerakan anti-penyerahan (anti-cession) Sarawak ke tangan pihak British.

Pengorbanan beliau dalam merintis jalan yang penuh dengan dugaan dihargai oleh rakyat Sarawak ketika gerakan anti-penyerahan. Berikut ialah biografi ringkas dan jasa-jasa Lily Eberwein kepada Sarawak:

  • Ketika pendudukan Jepun, beliau dilantik oleh pihak Jepun sebagai ketua kaum Melayu bagi Persatuan Kaum Ibu. Beliau kemudian dilantik menjadi Pengerusi Kaum Ibu dalam Malay National Union of Sarawak (MNU) Sarawak sehingga 1960

  • Pengerusi Bahagian Wanita, Malay National Union of Sarawak (PKMS), kumpulan yang aktif dalam Anti-Cession Movement.

  • Wanita pertama dilantik sebagai Kaunselor Kuching Municipal Council pada tahun 1950

  • Bonda kepada Dato Sri Hafsah Harun, mantan menteri kabinet Sarawak

    Lily Eberwein Abdullah Ketua Kaum Ibu Sarawak dan Pengetua Sekolah Di Sebalik Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak
    Kredit: tokohtokohtempatanthn5

Kehidupan Awal Mendiang

Lily Eberwein Abdullah (1900-1980) membesar di Singapura bersama keluarganya.  Ayahnya John Eberwein berdarah Dutch-Scottish bekerja di Straits Steamship Company sebagai kapten Rajah Brooke. Ibunya Maznah binti Ali bin Alang seorang Melayu dari Sarawak. Walaupun keluarganya mengamalkan cara hidup Kristian di Singapura, Maznah kekal mengamalkan cara hidup sebagai penganut Islam.

Ketika Eberwein berusia 15 tahun, ayahnya meninggal dunia. Eberwein bersekolah di St Mary’s Mission School di Kuching dan tinggal bersama ibunya. Di Kuching, Eberwein perlu menyesuaikan dirinya dengan cara hidup Melayu Islam. Menurut temu bual bersama anaknya Hafsah Harun, Eberwein mempunyai didikan yang berbeza dengan gadis Melayu lain. Di Singapura beliau bebas mengamalkan cara hidup Eropah namun beliau tidak gemar berada di Kuching kerana hidupnya lebih terkongkong dan tidak dapat keluar rumah sesuka hatinya.

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Sarawak Heroes: Dato’ Sri Tra Zehnder, “Wanita Besi” Yang Menyatukan Hari Gawai Pada 1 Jun

Beliau telah biasa mempunyai pembantu rumah lelaki ketika tinggal di Singapura namun setelah berpindah ke Kuching beliau pula yang membantu bapa-bapa saudaranya di rumah. Sebagai seorang wanita yang berpendidikan, beliau sangat lantang bersuara dan berdikari.

Eberwein memeluk Islam pada tahun 1913 ketika berusia 13 tahun. Rakan-rakannya di Singapura telah memberinya buku untuk mempelajari tentang Islam. Selain itu beliau juga belajar dari ahli keluarga terdekat.

Meskipun memeluk Islam pada usia remaja, pengetahuan Eberwein mengenai Islam mengagumkan jiran-jirannya sehinggakan ramai orang di kampung itu menghantar anak lelaki mereka ke Eberwein untuk belajar membaca Al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa orang-orang kampung mempercayainya dan sangat menghormatinya kerana wanita jarang dirujuk oleh orang untuk mengajar agama pada zaman itu. Beliau telah diterima dan mengidentifikasi dirinya sebagai Melayu Muslim.

Eberwein pelopor dalam pelbagai bidang. Antaranya menjadi wanita “Melayu” pertama yang diupah sebagai pengendali telefon dan wanita “Melayu” pertama yang menjadi pengetua di Permaisuri Malay Girls School, iaitu sekolah Melayu pertama di Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1930.

Ketika Eberwein berusia 38 tahun beliau berkahwin dengan Harun bin Haris, seorang pegawai polis di Sarawak Police Constabulary yang muda daripadanya lima tahun. Suaminya amat menyokong penglibatannya dalam gerakan anti-penyerahan dan semangat jitunya dalam pendidikan. Pada zaman itu, berkahwin pada usia yang lanjut dan mempunyai suami yang jauh lebih muda boleh menimbulkan kontroversi. Namun hal sebegitu tidak menggetarkan Eberwein. Beliau amat dihormati oleh masyarakat terutama Melayu kerana dedikasi beliau dalam mendidik perempuan Melayu.

Lily Eberwein Abdullah Ketua Kaum Ibu Sarawak dan Pengetua Sekolah Di Sebalik Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak
Lily Eberwein. Kredit: Dato Sri Hafsah Harun

Ketua Melayu Persatuan Kaum Ibu

Ketika pendudukan Jepun di Sarawak, pihak Jepun telah menaja persatuan wanita yang dikenali sebagai Kaum Ibu. Persatuan ini melibatkan empat kumpulan etnik terbesar Sarawak. Eberwein dilantik untuk mengetuai kaum Melayu. Pada masa itu beliau sedang berkhidmat sebagai pengetua Permaisuri Girls School. Tugasnya dalam Kaum Ibu adalah mengumpul bahan-bahan yang tidak diguna atau yang boleh dikitar semula untuk mengatur pesta untuk mengumpul dana untuk askar Jepun.

Kaum Ibu bertanggungjawab untuk mengatur persembahan nyanyian dan tarian untuk acara sebegitu. Mereka juga bertanggungjawab untuk menggalakkan wanita untuk menanam ubi kayu bagi menggantikan beras kerana tidak cukup bekalan.

Penglibatan Eberwein dalam Kaum Ibu memberinya peluang untuk menambah kenalannya dan keyakinan diri untuk melibatkan diri dalam politik. Eberwein mengambil langkah seterusnya untuk bergiat aktif dalam gerakan anti-penyerahan pada tahun 1946.

Kaum Ibu MNU Sarawak, 1946. Kredit: Dato Sri Hafsah Harun

Meletak Jawatan Beramai-Ramai Semasa Gerakan Anti-Penyerahan

Pada tahun 1947, Rajah Sarawak terakhir, Charles Vyner Brooke telah naik takhta dan memerintah kerajaan Sarawak sehinggalah Jepun datang menyerang. Kemudian, selepas Jepun menyerah kalah, Charles Vyner Brooke kembali semula ke Sarawak dan ingin menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British.

Di sudut rakyat Sarawak, mereka menuntut supaya Sarawak tidak diserahkan kepada kerajaan British, tetapi mereka mahu tahkta Rajah Sarawak diturunkan kepada anak Anthony Brooke. Ramai membantah tindakan Charles Vyner Brooke yang enggan menurunkan tahkta ke anak saudaranya, Anthony Brooke. Hasilnya tertubuhlah Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak.

Pihak British tidak senang duduk dengan bantahan ini dan mengeluarkan Surat Pekeliling No. 9 yang mengharamkan para pegawai kerajaan menyertai gerakan Anti-Penyerahan Sarawak. Namun pekeliling ini hanya mengakibatkan perkara yang bertentangan berlaku.  Ramai guru tidak mengendahkan ancaman tersebut lalu meletakkan jawatan beramai-ramai.

Lily Eberwein Abdullah Ketua Kaum Ibu Sarawak dan Pengetua Sekolah Di Sebalik Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak

Eberwein salah seorang yang meletakkan jawatannya sebagai pengetua Permaisuri Girls School. Pada masa itu beliau dilantik sebagai pengerusi bahagian wanita Malay National Union of Sarawak (PKMS), pengelola Gerakan Anti-Penyerahan.

Oleh sebab terlalu ramai guru-guru yang meletakkan jawatan mereka, banyak sekolah kerajaan di seluruh Sarawak telah ditutup kerana ketiadaan pengajar. Bagi membantu anak-anak pegawai sekolah yang meletak jawatan, Eberwein menubuhkan sekolah rakyat di premis Masjid Bintangor Bangunan Haji Taha. Eberwein serta guru-guru lain yang meletak jawatan mengajar di sekolah ini tanpa gaji.

“We Malays, in conjunction with the other indigenous races, will fight with unwavering purpose for the redress of the wrong that has been done to our people in the extinction of our nationhood and independence.” – LILY EBERWEIN

Dalam memoir Anthony Brooke, beliau mengenang jasa wanita dalam Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak terutamanya Eberwein. Tulisnya;

“A new impetus was given to the movement due to the initiative of Chegu (head teacher) Lily Eberwein, who formed a women’s branch of the movement. THIS MET WITH CONSIDERABLE SUPPORT FROM WOMEN OF ALL AGES FROM THROUGHOUT THE COUNT.” – ANTHONY BROOKE

Ciri Kepimpinan Yang Menyerlah

  • Pada tahun 1950, Eberwein menubuhkan Satok English School setelah sedar akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi terutamanya dalam perkhidmatan kerajaan. Beliau berhenti berkhidmat sebagai pengetua di Satok English School sehingga 1960. Kadangkala membantu anaknya Hafsah yang menggantinya sebagai pengetua.
  • Wanita pertama dilantik sebagai Kaunselor, Kuching Municipal Council, 1950

Walaupun beliau telah mencipta sejarah dalam pelbagai bidang dan jawatan, namun mendiang akan sentiasa diingati sebagai patriot wanita Sarawak yang unggul.

Rujukan:

Jehom, W. (2013). Lily Eberwein: Her Life and Involvement in the Anti-cession Movement in Sarawak. Dalam Blackburn S. & Ting H. (Eds.), Women in Southeast Asian Nationalist Movements (pp. 175-197). Singapore: NUS Press. Diakses 14 Julai 2020, dari www.jstor.org/stable/j.ctv1qv1g3.12

Haslina Bujang. Kaum Ibu Sarawak Menentang Penjajah. Diakses 20 Julai 2020, dari https://www.thepatriots.asia/

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here