Padah Minggi yang gemar berbohong, akhirnya cerucuk pembohong dibina sebagai iktibar kepada seluruh orang kampung.

Pada zaman dahulu tinggalnya seorang lelaki bernama Minggi di sebuah rumah panjang bersama dengan penduduk rumah panjang yang lain. Rumah panjang itu dikelilingi bukit yang kehijauan dan di tepinya terdapat Sungai Undup di Sarawak.

Gambar Hiasan, kredit: Forward Sarawak

Minggi bukanlah seorang lelaki yang baik ini kerana dia sangat gemar berbohong dengan membuat lawak jenaka sehingga membuatkan orang ramai berasa marah dan sakit hati kepadanya.

“Jangan mengarut, Minggi!” kata penduduk rumah panjang kepadanya. “Jangan beritahu perkara yang kamu tahu itu tidak benar. Kalau kau selalu buat begini suatu hari nanti kau akan ditimpa kesusahan.”

Jiran Minggi yang bernama Sali sering berasa geram dan marah padanya. Minggi menjerit “Api! Api!” tapi tiada api. Dia menjerit “Ular! Ular!” padahal tiada ular. Tindakannya ini membuatkan isteri Sali berada dalam ketakutan.

“Aku mohon agar suami kau berhenti cakap sebegini!” Isteri Sali sering bercakap dengan isteri Minggi.

“Entahlah, kadang aku tak tahu dia bercakap benar ataupun tidak, dan aku tak suka kalau anakku Tedong dengar semua ini!”

Isteri Minggi rasa bersalah dan memohon maaf bagi pihak suaminya. “Saya minta maaf tentang itu, dia juga sering membuat lawak bodohnya pada saya, saya tak tahu macam mana nak hentikan dia.”

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Hikayat Legenda Sarawak: Hormati Orang Tua Kisah Batu Nini Sit Di Batang Kayan Jadi Tauladan

Pada suatu hari…

Pada suatu hari, ketika Minggi sedang bekerja di kebun menanam ubi kayu dia terlihat beberapa orang budak lelaki sedang bermain di tepi hutan. Mereka bermain air di sungai kemudian berlari ke hutan. Mereka berlari ke sana ke sini. Anak Sali iaitu Tedong turut bermain bersama kanak-kanak tersebut dan berpura-pura menjadi burung.

“Cubalah tangkap saya!” kata Tedong pada rakan-rakannya.

Tedong berlari sambil melambai-lambaikan tangan, datang seorang budak lelaki mengejarnya, menjerit dan gelak.

“Jika kamu burung kau sepatutnya boleh terbang!” kata mereka pada Tedong. “Burung yang betul boleh terbang,” kata mereka sambil menunjuk burung yang helang terbang di atas pokok.

Tedong berasa tergugat dan mulai memanjat pokok yang tinggi, selepas melihatnya rakan-rakannya pun turut memanjat sama. Manakala yang lain masih gelak dengan kelakuan mereka.

Kredit: Sarawak Folktales

“Kau tu memanjat, bukan terbang!” Mereka berkata lagi. “Monyet je panjat pokok, burung tak panjat tapi terbang.”

Tedong memanjat semakin tinggi sehingga hampir ke bahagian pangkal pokok.

Salah seorang rakannya yang lebih berusia menegur Tedong. “Weh, Tedong, lebih baik kau berhenti, dahan pokok kat atas tu dah rapuh.”

Tedong langsung tidak menghiraukan teguran rakannya dan dia terus memanjat lebih tinggi.

Prakkk!!!

Tiba-tiba kedengaran bunyi hentakan yang kuat seperti sesuatu yang jatuh dari tempat yang tinggi. Rupa-rupanya Tedong terjatuh dari pokok. Ketika memanjat dia telah terpijak dahan yang rapuh.

Mendengar suasana riuh yang tidak jauh daripada kebun Minggi, dia terus meluru ke arah tempat kanak-kanak itu bermain untuk mengambil tahu apa yang telah terjadi.

Beliau mendapati Tedong telah terbaring di atas tanah dan kanak-kanak lain mengerumuni Tedong dengan perasaan yang cemas.

Tedong terbaring dengan mata yang terpejam dan wajah yang pucat tanpa ada sebarang pergerakan daripadanya meskipun bernafas.

Tedong hidup lagi ke?

Minggi cuba meletakkan telinganya pada dada Tedong untuk mendengar degupan jantung Tedong, dengan berasa lega dia berkata, “Dia masih hidup, saya dengar degupan jantungnya.”

Minggi menyuruh salah seorang budak di situ untuk mengambil air untuk dituangkan pada Tedong. Syukurnya, Tedong pun sedar setelah Minggi menuangkan air padanya.

Dengan perasaan hairan dan terkejut Tedong bertanya, “Apa yang berlaku?”sSambil menggelengkan kepalanya dia bertanya lagi, “Kenapa kepala aku basah?”

Setelah melihat kelakuan Tedong yang terpinga-pinga, kanak-kanak lain turut gelak dengan tingkah lakunya mereka berasa lega kerana Tedong tidak cedera.

Tedong lalu bangkit dan terus bermain bersama rakan-rakannya meskipun dia terpaksa berjalan dengan perlahan lalu mereka terus menuju ke sungai untuk melihat perangkap ikan yang telah dibuat.

Terpikir idea jahat

Hari mulai senja Minggi pun telah selesaikan segala pekerjaannya lalu dia pun ingin balik ke rumahnya sambil membawa ubi kayu dan cangkul. Dalam perjalanan pulang Minggi terserempak dengan ibu Tedong secara tidak langsung Minggi terpikir idea jahatnya untuk mengenakan wanita itu.

Lalu dia memberitahu kepada ibu Tedong, “Anak kau tidak akan balik ke rumah, tadi dia jatuh dari pokok lalu terus meninggal dunia.”

Selepas berkata begitu, Minggi terus pulang ke rumahnya sambil menahan gelak, dia memutuskan untuk tidak memberitahu kepada isterinya tentang ini. Jika tidak, nanti rahsianya akan terbongkar.

Setelah mendengar cerita Si Minggi, ibu Tedong terus meraung kesedihan, dia menganggap dia telah kehilangan anaknya. Lalu orang kampung meluru menuju ke arahnya dan bertanya apa yang telah terjadi.

Sambil menangis ibu Tedong mengatakan bahawa anaknya telah mati akibat jatuh daripada pokok. Tidak lama selepas itu dia pengsan dan jatuh ke lantai, orang kampung lalu mengangkat badannya untuk dibaringkan di atas tikar.

Wanita di situ meminta suami mereka untuk keluar pergi ke hutan mencari mayat Tedong untuk dibawa pulang supaya ia tidak semalaman berada di sana.

Gendang kayu dipukul tanda kecemasan

Seterusnya keadaan di rumah panjang menjadi seperti riuh rendah. Ada yang menangis, meraung dan ada juga yang mengetuk gendang kayu. Selalunya gendang itu hanya diketuk apabila berlaku kebakaran atau sebarang kecemasan seperti serangan daripada musuh.

Gambar hiasan, kredit: Pesantren Jawa Timur

Maka bagi sesiapa yang mendengar pukulan gendang itu hendaklah pulang ke rumah, begitu juga Sali setelah mendengar dia turut bergegas kembali ke rumah.

Setibanya Sali di rumah panjang dia terus bertanya, “Apa yang berlaku? Kenapa kalian mengetuk gendang kayu?”

Salah seorang daripada penduduk di situ memberitahu pada Sali apa yang berlaku, di mana anaknya Tedong telah meninggal dunia akibat jatuh daripada pokok.

Tiba-tiba seorang budak lelaki berlari menaiki tangga lalu bertanya, “Apa yang berlaku? Ada kebakaran ke?”

Semua orang kaku melihat budak itu. Budak itu ialah Tedong, anak Sali yang telah dikatakan meninggal dunia sebentar tadi. Tedong berdiri dengan membawa ikan yang diikat dengan tali. Dia masih hidup!

Orang kampung di situ bertanya, “Semua orang fikir kau sudah mati.”

“Apa? Siapa yang kata saya dah mati?” tanya Tedong dengan terkejut. “Saya jatuh dari pokok je, tak sakit pun. Tengok ni, tangan dan kaki saya elok je tak ada calar sikit pun! Siapa kata saya dah mati?” ulangnya lagi.

“Ya, siapa kata budak ni dah mati?!” tanya orang kampung di situ dengan geram.

Ibu Tedong berasa lega mendapati anaknya masih hidup lalu menjawab, “Minggi yang beritahu saya. Pada masa itu saya terserempak dengan Minggi di tepi jalan, berdekatan dengan jambatan buluh, lalu dia memberitahu bahawa Tedong telah mati akibat terjatuh daripada pokok.”

Gambar hiasan, kredit: Dinohauz

Minggi buat hal lagi?!

“Apa?! Minggi lagi?” Semua orang menjerit. “Dia buat hal lagi! Minggi, sini kau! Sekarang beritahu perkara sebenar pada kami, kenapa kau suka bercakap perkara mengarut seperti ini?” tanya orang kampung padanya.

Minggi yang telah diheret diletakkan ditengah-tengah kerumunan orang kampung.

“Oh, saya hanya bergurau,” jawab Minggi sambil menahan ketawanya, tapi dia mulai berasa takut apabila melihat orang kampung seperti sangat marah padanya.

Ketua rumah panjang itu memandang Minggi dengan pandangan mata yang tajam, lalu dia berkata, “Aku nak semua orang ikut aku!” dan terus meluru menuruni tangga tanpa berkata sepatah pun.

Pengajaran untuk si penipu

Minggi cuba untuk lari kembali ke biliknya namun tidak dapat kerana tangannya telah dipegang erat oleh dua orang lelaki yang berbadan sasa.

Ketua rumah terus menuju ke arah jambatan buluh yang dikatakan oleh ibu Tedong di mana kawasan dia terserempak dengan Minggi.

Setelah sampai ketua rumah berkata, “Di sinilah tempatnya! Di sinilah kamu memberitahu pada ibu Tedong bahawa anaknya jatuh pokok lalu mati. Betul, kan?” tanya ketua rumah pada Minggi.

“Hmm, ya betul, tapi saya hanya bergurau.” Minggi ingin pertahankan dirinya.

“Bergurau, Minggi? Bergurau?!” Dengan nada marah ketua rumah berkata, “Itu bukan bergurau, tapi berbohong!”

Semua orang di situ senyap tanpa berkata apa-apa, dan hanya menganggukkan kepala menunjukkan mereka bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh ketua mereka.

“Nasib baik, tiada yang cedera, hanya ibu Tedong sahaja yang pengsan tapi dia baik-baik sahaja. Oleh itu, kita hanya menghukum tempat ini kerana di sinilah pembohongan itu telah dikatakan.

“Setiap orang akan membaling sebatang kayu pada tanah di sini. Maka bagi sesiapa yang melalui jalan ini akan membaling kayu di sini. Aku nak semua orang ingat satu penipuan telah dikatakan di sini, dan penipuan itu suatu yang salah,” kata ketua rumah.

“Sali, isteri kau ketakutan akibat penipuan ini. Penipuan ini melibatkan anak kau. Kau boleh membaling kayu yang pertama di sini,” kata ketua kepada Sali.

Lalu, Sali pun mengutip sebatang kayu di sekitar mereka dan membalingnya di kawasan tepi jambatan buluh. Selepas itu, dia terus kembali ke rumah dan semua orang di situ turut melakukan perkara yang sama tanpa memandang pada Minggi langsung.

Hari sudah larut malam hanya ditemani dengan cahaya bulan namun Minggi masih berdiri di situ seorang diri. Di sisinya terdapat timbunan kayu yang besar, dengan perlahan dia kembali ke rumah dengan perasaan malu dan berjanji tidak ingin berbohong lagi.

Gambar hiasan, Kredit: Kontraktor Jogja

Pada abad ke-20 cerucuk pembohong masih boleh ditemui di sekitar Sarawak. Ia dibuat untuk dijadikan sebagai iktibar pada semua supaya mereka ingat betapa teruknya apabila berbohong.

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here