Dikatakan nyanyian burung Pong Kapong mampu suburkan hasil tanaman. Namun tindakan ikan Juak terhadap anak Pong Kapong menyebabkan pantang larang ikan Juak menjadi ikutan masyarakat Iban sehingga hari ini.

Pada zaman dahulu, terdapat sepasang burung Pong Kapong di negeri ini, mereka tinggal di atas sebuah pokok yang tinggi di dalam hutan. Orang Iban gemar mendengar nyanyian burung tersebut. Ini kerana dikatakan bahawa nyanyian Pong Kapong mampu memanggil kesuburan pada hasil tanaman orang kampung.

Apabila musim bunga ibu burung akan mengeram telurnya sehingga menetas dan apabila anak burung sudah cukup matang ibu Pong Kapong akan membawanya untuk mandi di sungai berdekatan.

burung pon kapong bertenggek di ranting kayu
Kredit: Ebird

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Hikayat Legenda Sarawak: Akibat Minggi Si Penipu, Cerucuk Pembohong Dibina

Seronok bermain di sungai, tiba-tiba….

Ketika anak burung Pong Kapong sedang seronok bermain di sungai tiba-tiba berlaku percikan air yang besar di kawasan anaknya bermain. Lalu kedengaran bunyi anak Pong Kapong menangis. Ibu Pong Kapong bergegas menuju kearah anaknya dan mendapati kaki anak Pong Kapong berdarah.

“Alolo.. kesian anak ibu, siapalah yang buat anak ibu macam ni,” tanya si ibu.
“Aku tahu! Ini mesti kerja si ikan Juak, ikan yang nakal sering menganggu!” kata ayah Pong Kapong dengan marah.

Ibu Pong Kapong membawa anaknya balik ke sarang dan mengubati luka tersebut. Akibat kejadian tadi ayah Pong Kapong lalu mengajak isterinya pindah ke Sumatra. Meskipun Sumatra sangat jauh dari Sarawak namun demi anak keselamatan anak Pong Kapong mereka sanggup ke sana.

Pong Kapong sekeluarga berpindah ke Sumatra

burung tukang kubur
Kredit: Britanicca

Pada keesokan paginya, Tok Tarau jiran mereka atau nama lainnya burung tukang kubur (nightjar) menyapa Pong Kapong sekeluarga dan bertanya, “Kalian hendak ke mana wahai jiranku?”

“Wahai kawanku, kami ingin pergi dari sini dan berpindah ke Sumatra, ia demi keselamatan anak kami kerana tempat ini sudah tidak selamat untuk anak-anak kami,” jawab Ayah Pong Kapong.

“Sumatra terlalu jauh maka kami tidak akan berjumpa dengan kalian lagi,” kata Tok Tarau kepada mereka. Namun begitu ibu dan ayah Pong Kapong tetap nekad untuk berpindah ke sana. Dengan meletakkan anak Pong Kapong di belakang badan ayahnya, mereka sekeluarga terus berangkat ke Sumatra.

Hari berganti hari…

Pada mulanya kehilangan Pong Kapong sekeluarga tidak disedari oleh haiwan-haiwan di Sarawak. Namun setelah musim hujan, tanaman tumbuh dengan tidak subur, pokok-pokok pun tidak membuahkan hasil tanaman. Hari berganti hari seluruh tanaman langsung tidak membuahkan sebarang hasil, haiwan-haiwan lain semuanya menderita kelaparan.

Kredit: Tribunnews.com

Seluruh haiwan di hutan pergi menemui si badak sumbu iaitu hakim di hutan tersebut, lalu mereka mengadakan mesyuarat untuk mencari penyelesaian terhadap masalah mereka. Hasil kata sepakat mereka bersetuju untuk menghantar wakil untuk pergi ke Sumatra supaya memujuk Pong Kapong sekeluarga balik ke sini.

Namun, siapa yang pergi?

Apabila disuruh masing-masing memberi alasan tidak ingin pergi ke Sumatra.
Si ular berkata, “Kami ingin pergi, tetapi tiada kaki!”
Si burung berkata, “Kami boleh terbang, tetapi Sumatra terlalu jauh”
Si rusa pula berkata, “Kami boleh berlari laju, tapi hanya di darat. Bagaimana kami ingin melintasi laut jika ingin ke sana?”

Masing memberi alasan, tiba-tiba si lalat buah dan rama-rama pergi ke tengah-tengah kerumunan haiwan tersebut bermesyuarat lalu berkata, “Kami kecil dan lemah tapi tidak takut untuk ke Sumatra. Kami akan ke Sumatra. Jika kami mati sekurang-kurangnya kami mati demi kawan-kawan!”

Sumber: Sarawak Folktales

Perjalanan ke Sumatra bermula

Maka, lalat buah dan rama-rama pun memulakan perjalanan dengan terbang melalui hutan yang tebal seterusnya meredah lautan luas dengan menaiki sebatang kayu untuk menuju ke Sumatra.

Setelah sampai di Sumatra mereka ingin mencari Pong Kapong sekeluarga namun tidak tahu untuk mulai dari mana. Semasa mereka ingin memulakan perjalanan lalat dan rama-rama terserempak dengan si Reriang lalu merekapun bertanya kepadanya.

Namun si Reriang tidak kenal siapa Pong Kapong, maka dia membawa mereka pergi menemui Antu Panas. Namun Antu Panas pun tidak mengenali Pong kapong lalu dia mengajak mereka menemui si Kelawar.

Setelah sampai di tempat si kelawar Antu Panas mulai mengejutkan Si kelawar yang sedang tidur dan bertanya adakah beliau mengenali Pong Kapong. Lalu Si Kelawar menjawab, “Ya saya mengenali dia, dia kawan baik saya. Kini dia tinggal di atas Bukit Binjai,” katanya dalam mengantuk.

Menuju ke rumah Pong Kapong

Lalu lalat buah dan rama-rama pun pergi ke Bukit Binjai dan menuju ke rumah Pong Kapong. Setelah sampai mereka terus memanggil Pong Kapong dan memintanya balik ke Sarawak. Mereka juga memberitahu bahawa rakan-rakan mereka ramai yang sakit akibat kelaparan.

Pong Kapong berasa kasihan dan bertanya kepada isterinya, namun isterinya menolak permintaan mereka sambil menangis. Ini kerana dia masih tidak mampu melupakan tindakan ikan Juak terhadap anak mereka. Akur dengan pemintaan isterinya, Pong Kapong tidak ingin pulang ke Sarawak semula.

Rama-rama dan lalat buah masih berusaha memujuk Pong Kapong sekeluarga dengan perasaan yang sangat berharap. Lalu isteri Pong Kapong teringat sesuatu dan membisikkan ia padanya.

Apakah yang dibisikkan isterinya?

Pong Kapong memberitahu, “Oh, ya… Aku hampir terlupa, isteri aku baru sahaja memberitahu bahawa dia telah meninggalkan tiga biji telur di sebuah sarang yang terletak di Gunung Kinabalu. Lalu, kalian mintalah sepupuku Tok Tarau untuk mengeram telur tersebut sehingga menetas. Setelah itu, mereka boleh memanggil kesuburan untuk kalian di Sarawak.”

Dengan penuh kegembiraan si lalat buah dan rama-rama menyampaikan berita gembira itu kepada si badak sumbu. Seluruh haiwan berasa lega selepas mendapati berita itu. Tok Tarau mulai mengeram telur tersebut selama 18 hari.

Akhirnya…

Telur itu mulai menetas sambil membuatkan bunyi ‘Cu-cu-cu-koo’, setelah mendengarnya seluruh haiwan bersorak kegembiraan. Mereka lalu berkata pada Tok Tarau untuk membiarkan burung itu terbang jangan hanya terperap di sarang.

“Bagaimana aku biarkan ia terbang, tidakkah kalian ingat pada ikan Juak? Ikan jahat yang akan menggigit mereka, jika mereka bermain sendiri,” jawab Tok Tarau.

Tiba-tiba ada suatu suara…

Suatu suara nyaring kedengaran berkata “Tidak, aku tidak akan menggigit mereka!” rupanya itu ialah suara ikan Juak. Semua hairan bersempunyi ketakutan setelah mendengar suara tersebut.

Lalu si badak sumbu bertanya, “Bolehkah kami mempercayai kamu Ikan Juak? Agar tidak menggigit anak burung ini.”

“Saya tidak akan menyakiti sesiapa jika mereka mengikut pantang larangku,” kata ikan Juak kepada mereka.

“Ini sungai aku! Jika nak menggunanya kalian perlu meminta izinku terlebih dahulu. Mulai hari ini kalian perlu memberitahu aku kalau ingin memandikan bayi kalian di sungai ini. Jika itu bayi jantan kalian hendaklah letakkan lembing di tebingan sungai manakala jika bayi betina kalian perlu meletakkan kayu tenun.

“Seterusnya kalian perlu menyeru nama aku: Si raja sungai. Jika kalian lakukan semua ini aku akan memberikan kesihatan dan nasib yang baik kepada bayi tersebut. Di mana yang jantan akan menjadi gagah dan berani manakala yang betina akan menjadi cantik dan bijak.”

Sehingga hari ini masyarakat Iban mengikut petua dan pantang larang tersebut. Hasilnya sehingga kini tiada bayi yang digigit oleh ikan Juak lagi dan bayi lelaki yang dimandikan di situ menjadi berani dan kuat manakala bayi perempuan pula menjadi cantik dan bijak. Ikan Juak menepati janjinya.

Ikuti SukaSukaMY di Facebook, TwitterInstagram dan YouTube.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here