Filem pendek animasi Batuh Bijanji hasil karya dua orang murid Tahun 5 dari SK Temong, Serian, telah memenangi anugerah filem terbaik oleh juri di Festival de Cinema Escolar de Alvorada (FECEA) di Brazil.
Animasi Batuh Bijanji telah memenangi anugerah ‘Best Film By Popular Jury’ bagi kategori sekolah rendah.
80% pembikinan karya ini telah dihasilkan oleh dua orang murid tahun 5 dari SK Temong, Serian, iaitu Macgres Anak Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Binti Mohd Zulfadhli.
Penghasilan karya ini juga turut sama dibantu oleh dua orang guru pembimbing iaitu Cikgu Wan Dinnie dan Cikgu Mohd Reduan.

Kemenangan ini ialah kebanggaan kepada SK Temong yang terletak di kawasan luar bandar sekitar daerah Tebedu.

Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Baru 15 Tahun, Anak Sarawak Marscella Ling Pendebat Kedua Terbaik Parlimen Digital 2020.
Animasi rotoscope Batuh Bijanji!
Tajuk animasi Batuh Bijanji diambil daripada bahasa Bidayuh Serian yang membawa makna batu perjanjian. Ia sebuah animasi rotoscope yang mengisahkan tentang persahabatan dan pengorbanan.
Admin kongsikan pada anda video teaser animasi Batuh Bijanji hasil karya murid dan guru SK Temong, Serian.
Apa itu Rotoscope?
Ekoran kesuntukan masa bagi penghasilan karya ini maka mereka mengaplikasikan teknik rotoscoping iaitu sebuah teknik di mana animator mengesan rakaman yang ditangkap untuk menghasilkan animasi secara visual seakan-akan realistik.
Maka melalui teknik ini animasi Batuh Bijanji dapat dihasilkan dalam tempoh 10 hari sahaja, sungguh mengagumkan! Anda boleh melihat bagaimana teknik rotoscoping dilakukan menerusi video yang dikongsikan oleh Cikgu Dinnie di YouTube Channel beliau di bawah.
80% Proses Pembikinan Animasi Dilakukan oleh Murid
Usaha ini dilakukan oleh adik Nabiatul dan Macgres bersama guru-gurunya iaitu mulai daripada proses rakaman sehingga penyuntingan menggunakan teknik rotoscoping.
“80% animasi murid Tahun 5 dari SK Temong, Serian yang buat (jelas pada perbezaan stroke), rotoscope selama 10 hari,“ kata Cikgu Dinnie ketika ditemu bual menerusi aplikasi WhatsApp oleh SukaSuka.

Antara gambar yang dikongsikan oleh Cikgu Dinnie iaitu sebelum dan selepas teknik rotoscoping.

Dalam gambar tersebut, adik Nabiatul dan Macgres mengesan rakaman video dan melakukan tekapan bagi setiap frame untuk pemprosesan pembikinan animasi Batuh Bijanji.

Pernah Dinobatkan 11 Filem Terbaik Asia 2019
Animasi Batuh Bijanji pernah dinobatkan antara 11 filem pendek terbaik Asia pada tahun 2019 di bawah inisiatif #SubmitYourFilm kelolaan laman online perfileman, Asian Movie Pulse.
“Tahun lepas ia disenarai dalam Top 11 filem terbaik (bagi segmen Submit Your Film) oleh Asian Movie Pulse.” Kata Cikgu Dinnie lagi.
Hampir 100 permohonan penyertaan bagi acara Submit Your Film ini dari seluruh negara Asia dan Batuh Bijanji antara 11 filem terbaik yang tersenarai.

Apa itu Festival de Cinema Escolar de Alvorado (FECEA)?
FECEA merupakan Festival Filem Sekolah Antarabangsa Alvorada yang diadakan di Brazil. Ia merupakan salah satu acara yang memberi pengiktirafan terhadap karya audiovisual yang dilaksanakan di peringkat sekolah.
Selain itu, animasi ini juga turut tercalon di dalam Anugerah Best Animation (Primary School), namun rezeki tidak memihak kepada mereka. Keputusan bagi anugerah ini diperoleh daripada hasil undian di saluran YouTube FECEA RS.
